KUALA LUMPUR – Malaysia Reprographic Rights Centre Malaysia Berhad (MARC) bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi menjaga kepentingan hak harta intelek dalam bidang reprografi terutama buat pengkarya.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata, MARC akan menjadi agensi yang akan mengawal dan mengutip bayaran royalti berkaitan bahan penulisan dan lukisan yang difotokopi tanpa kebenaran pengkarya.

Ujarnya, karya penulisan dan lukisan yang disalahguna sering berlaku dalam kalangan pelajar, justeru akan diberikan penekanan terutama kawasan seperti sekolah-sekolah, Institut Pengajian Tinggi (IPT), perpustakaan, dan kedai fotokopi.

“Pelajar universiti dan sekolah-sekolah akan fotokopi buku tersebut tanpa bayaran kepada pengkarya, itu hak pengkarya dan mereka menggunakan idea tersebut tanpa kebenaran.

“MARC akan memberikan kebenaran fotokopi dan mengumpulkan imbuhan untuk penulis, pengeluar, dan pelukis komik. Lesen perjanjian akan dikeluarkan apabila kedua-dua pihak setuju dengan syarat yang ditetapkan,” katanya ketika sidang akhbar di sini, hari ini.

Tambah Rosol, seminar berkaitan reprografi yang diadakan juga bertujuan mendidik orang awam terutamanya golongan bersasar mengenai kepentingan hak harta intelek dalam bidang reprografi.

“Harta intelek sepatutnya didaftarkan dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), setakat ini ramai tidak daftar, jadi MARC sukar untuk bantu untuk menjalankan tugas mengutip royalti dan ianya akan ditagih kepada penerbit buku.

“Bila kita ada satu badan, pencipta atau orang yang kreatif ini akan beri satu motivasi dalam menghasilkan novel, buku cerita, dankomik kerana mereka akan mendapat hasil karya itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Sumber: https://www.kosmo.com.my/2022/08/18/pengkarya-boleh-tuntut-royalti-jika-karya-difotokopi/